Kerajaan Awal Turki

Monday, April 11, 2011

Bangsa Turki tinggal di sekitar Pergunungan Altay, selatan Sungai Yenisey di Siberia Utara. Mereka mendakwa berketurunan Ya’feth, anak lelaki Nabi Nuh a.s.

Tokoh yang terkenal dari bangsa ini dikenali sebagai Oğuz Han.

Melalui zuriat beliau, lahirlah keturunan yang kemudiannya berkembang menjadi pelbagai puak, antaranya puak Salur.

Salur dikatakan hidup pada zaman RasululLah S.A.W. dan anaknya, Çanak Han memeluk Islam. Puak-puak yang lain turut mengikut jejak puak Salur dengan memeluk Islam.


Puak-puak yang memeluk Islam ini kemudian digelar ‘Türk-i İman’ (puak Turki yang beriman). İa juga disebut Türküman (Turcoman) dan hari ini ia lebih masyhur sebagai Türkmen.

Kerajaan Türkmen pertama adalah kerajaan Qarakhanı (İlighanlı) yang merangkumi Afghanistan dan sebahagian wilayah Turkistan pada hari ini (840 – 1212M).


Pengasas Kerajaan Selçük (Seljuq) Agung (429 – 552H / 1038 – 1157M), Selçük bin Duqaq adalah dari puak Kınık.

Kerajaan Selçük mula menguasai Anatolia Timur selepas menang dalam Peperangan Manzikert.

Peperangan yang hebat ini tercetus pada petang Jumaat, 26 Ogos 1071 apabila kesepakatan dalam rundingan damai antara kerajaan Selçük dan Byzantinium gagal dicapai.

Sejarah mencatatkan sejumlah 200,000 tentera Nasrani Byzantium ditewaskan oleh hanya 54,000 orang tentera Muslim Selçük.

Peperangan ini merupakan titik peralihan penting dalam sejarah dunia.


Selepas kemenangan di medan Manzikert (Malazgirt), kerajaan Selçük kemudian menguasai Iconium (Konya), Nicaea (İznik), wilayah-wilayah Anatolia Barat, kepulauan Laut Aegea, serta menguasai Antalya, bandar penting yang terletak di persisiran Laut Mediterranean pada 603H / 1206M.

Sejarah turut mencatatkan, sehingga 473H / 1080M, kerajaan Selçük telah menguasai wilayah-wliayah di Laut Marmara dan Laut Aegea sehingga menyebabkan Maharaja Byzantine Alexis Comnenus terpaksa membayar cukai tahunan kepada kerajaan Selçük!

Atas penguasaan ini kerajaan Selçük yang menguasai Anatolia dikenali sebagai Kesultanan Rum, kerana berjaya menguasai wilayah-wilayah yang dahulunya di bawah kekuasaan Empayar Byzantium (Rom Timur).

Pada penghujung abad ke-11, tentera Muslim Selçük telahpun menentang gelombang pertama angkatan Tentera Salib.

Di bawah kepimpinan Sultan Gıyaseddin Keyhüsrev, Kesultanan Selçük Rum bertembung dengan tentera Byzantine buat kali terakhir di Antakya (Antioch) pada 607H / 1210M.

Walau bagaimanapun, Kesultanan Selçük Rum yang hebat ini akhirnya jatuh setelah bertembung dengan gelombang penaklukan yang menguasai sebahagian besar wilayah Timur Tengah.


Dengan kekalahan kepada tentera Monggol di medan Kösedağ pada 641H / 1243M, maka berakhirlah penguasaan Kesultanan Selçük Rum di Anatolia dan digantikan dengan penguasaan Monggol yang berpusat di Iran.

Dalam era penguasaan Monggol, menyaksikan penduduk Muslim mula berpindah ke bahagian barat Anatolia berhampiran sempadan wilayah Byzantium.

Namun penguasaan Monggol di Anatolia tidak lama apabila Allah S.W.T. mentakdirkan bangunnya sebuah kerajaan Turki baru yang bukan sahaja berjaya mengalahkan Monggol, bahkan menyemarakkan lagi usaha pengembangan syiar dan syariat Islam, iaitu kerajaan Turki Osmanlı.

(Sumber: Osmanlı History 1289 - 1922)
(Sumber gambar: Internet)

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP