PENGENALAN KEPADA KERAJAAN OSMANLI – Bahagian III

Sunday, May 1, 2011


Gündüz Alp dan Ertuğrul Gazi – tidak banyak yang diketahui mengenai mereka.


Disebabkan kurangnya catatan rasmi mengenai mereka, kebanyakan kisah yang dikaitkan dengan leluhur Osman Gazi dan sejarah awal Osman Gazi sendiri, dianggap sebagai legenda, bahkan ada yang menganggapnya sebagai mitos.

Menurut sumber Osmanli, bapa Ertuğrul Gazi dikenali sebagai Gündüz Alp dari puak Kayı.

Leluhur Gündüz Alp telah mula berkhidmat sebagai pahlawan Kerajaan Selçük sejak era pemerintahan Tuğrul Bey (1037M – 1063M) dan Alp Arslan (1064M – 1072M).

Alp adalah gelaran yang diberikan kepada pahlawan terbilang Türkmen.

Kerajaan Selçük ketika itu berpusat di Khurasan (Iran).

Gündüz Alp telah bermastautin di Ahlat, sebuah wilayah yang teletak di Timur Anatolia.

Di sinilah Ertuğrul Gazi (bapa Osman Gazi), dilahirkan pada 1191M / 1198M.


Gündüz Alp bernaung di bawah pemerintahan Kesultanan Selçük Rum pimpinan:

• İzzeddin Kılıc Arslan II (1156M – 1192M)
• Gıyaseddin Keyhusrev I (1192 – 1196; 1205–1211);
• Süleyman II (1196–1204);
• Kılıç Arslan III (1204–1205)
• İzzeddin Keykavus I (1211–1220);
• Alaeddin Keykubad I (1220–1237)

Selepas kerajaan Ayyubiyah menguasai wilayah Ahlat, Gündüz Alp bersama puaknya berhijrah ke Mardin.

Apabila Mardin pula diserang tentera Monggol, Gündüz Alp bersama puak Kayı bergerak menuju Sumerlicukur di Erzurum.

Pada 1227, Gündüz Alp jatuh sakit dan meninggal dunia.

Tatkala tentera Monggol semakin mara di Anatolia, Ertuğrul Gazi yang kini mengambil alih kepimpinan puak Kayı, bergerak menuju ke bahagian barat Anatolia bersama-sama saudaranya, Dundar Bey.

Setibanya mereka di Sivas, mereka bertembung dengan satu pertempuran di antara tentera Selçük dengan tentera Monggol.

Atas pertolongan yang membawa kepada kejayaan Selçük itu, Sultan Alaeddin Keykubad I mengurniakan Karaca Dağ dan wilayah sekitarnya yang berdekatan Ankara kepada Ertuğrul Gazi dan puak Kayı.

Ertuğrul Gazi turut membantu Kesultanan Selçük Rum pimpinan Sultan Alaeddin Keykubad I dalam menghadapi tentera Greek di Emeniderbendi (wilayah yang kini terletak di antaran Pazaryeri dan Bozüyük).


Selepas kejayaan ini, Ertuğrul Gazi terus memimpin puak Kayı dalam meredakan ancaman musuh, khususnya dari Byzantine di sempadan dan berjaya menguasai Söğüt.


Ketika ini, Ertuğrul Gazi telah pun diiktiraf sebagai salah seorang beg yang bernaung di bawah Kesultanan Selçük Rum.

Era Ertuğrul Gazi menyaksikan puak Kayı bernaung di bawah Kesultanan Selçük Rum yang dipimpin oleh:
• Alaeddin Keykubad I (1220–1237);
• Gıyaseddin Keyhusrev III (1237–1246; 1265 – 1282);
• İzzeddin Keykavus II (1246–1248);
• 'Rukneddin' Kılıç Arslan IV (1248–1265);
• Alaeddin Keykubad II (1249–1257)
*(Kılıç Arslan IV memerintah bersama saudara-saudaranya Keykavus II dan Keykubad II)

Reputasi Ertuğrul Gazi turut tersebar luas, baik sebagai pahlawan yang hebat, juga sebagai pemerintah adil yang berpegang teguh dengan syariat Islam.

Menurut Lord Kinross, perpindahan puak Kayı ke Söğüt didorong oleh ketangkasan yang mereka pamerkan dalam siri peperangan menentang musuh.

Sekiranya timbul provokasi dari kerajaan Byzantine, Ertuğrul Gazi dan puaknya dipercayai akan dapat mematahkan ancaman awal dari Empayar tersebut.

Namun, terdapat satu lagi versi yang tidak banyak bezanya mengenai kehadiran Ertuğrul Gazi dan puak Kayı di Anatolia.

Diberitakan, Ertuğrul Gazi menetap di wilayah Khurasan.

Pada 1227M, bangsa Türkmen (Kesultanan Selçük Rum – penulis) yang menetap di Söğüt, Anatolia ketika itu telah meminta bantuan Ertuğrul Gazi dan puaknya bagi menghadapi tekanan pihak luar (dipercayai ancaman tentera Byzantine – penulis) di Anatolia.

Ertuğrul Gazi kemudian bermesyuarat di Merv (kini dikenali sebagai Mury di Türkmenistan) dan memutuskan untuk membantu saudara mereka di Anatolia.

Turut bersama Ertuğrul Gazi ialah 400 tentera merangkumi tentera berkuda dan bangsawan Türkmen (Atabeg).


Namun, Merv, antara bandar penting yang terletak di sepanjang Laluan Sutera akhirnya musnah apabila turut menjadi sasaran tentera Monggol.


Selepas membantu Kesultanan Selçük Rum di Anatolia, Ertuğrul Gazi bersama puaknya menetap di Söğüt yang akhirnya menjadi wilayah utama bagi puak Kayı.

Di sinilah lahirnya Osman Gazi pada tahun 1255M. Allah S.W.T. telah menetapkan bahawa melalui zuriat Osman Gazi, berkembang satu pemerintahan yang membawa sinar baru Islam di Anatolia, serta mengukir sejarah penting dalam peradaban dunia.

Sumber:
Osmanlı History 1289 - 1922
History of The Ottoman State, Society & Civilisaton Vol. I
The Ottoman Centuries - The Rise and Fall of the Turkish Empire
Internet

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP